Robot maya Aini kemegahan KUTKM – Utusan Malaysia

Robot maya Aini kemegahan KUTKM – Utusan Malaysia

Oleh: MUHD. NIZAM ABD. HAMID

MELAKA 7 Dis. – Jika syarikat automotif terkemuka dunia, Honda, berbangga dengan Asimo iaitu robot ciptaannya yang boleh berinteraksi dengan manusia, Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM) juga boleh bermegah dengan robotnya – Aini.

Aini adalah robot maya yang dicipta oleh sekumpulan pensyarah dan pelajar Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi KUTKM sejak dua tahun lalu dan mula diperkenalkan secara rasmi pada awal bulan Oktober lalu.

Berbeza dengan Asimo yang secara fizikalnya boleh dilihat dan mampu bersalam tangan dengan manusia, Aini pula yang merupakan singkatan daripada Artificial Intelligent Neural-Network Identity tidak boleh dilihat secara fizikal kerana ia `hidup’ dalam sistem komputer atau secara maya.

Dekan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi KUTKM, Profesor Dr. Mohammad Ishak Desa berkata, Aini merupakan gabungan teknologi kepintaran buatan (artificial intelligent), internet dan multimedia.

Robot maya Aini kemegahan KUTKM

Menurutnya, Aini merupakan robot maya yang bertindak sebagai ejen kepada pengguna komputer untuk membantu mereka mendapatkan maklumat-maklumat yang mereka cari dalam internet.

“Aini juga mempunyai kelebihan iaitu ia boleh bercakap dan berinteraksi dengan pelanggan dengan menggunakan bahasa tabie,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Malah katanya, Aini boleh menjadi pembantu untuk mencari maklumat dengan lebih tepat dan cepat serta membacakan maklumat berkenaan kepada pengguna komputer.

Katanya, Aini dibangunkan oleh Profesor Madya Goh Ong Sing iaitu pensyarah di Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi dan juga dibantu oleh tenaga pengajar lain serta pelajar-pelajar di fakulti berkenaan.

Menurutnya, penciptaan robot maya itu boleh dikatakan mengambil konsep daripada filem fiksyen futuristik seperti Star Trek apabila krew pesawat boleh berinteraksi dengan pesawat berkenaan.

“Daripada filem seperti itulah kita berusaha untuk membangunkan teknologi yang membolehkan manusia berinteraksi dengan mesin,” katanya.

Sementara itu, Ong Sing pula memberitahu, oleh kerana Aini merupakan robot maya adalah lebih mudah ia digambarkan sebagai seorang wanita tetapi ia sebenarnya boleh diubah menjadi lelaki atau personaliti lain begitu juga dengan suaranya.

Mengenai kos katanya, sukar untuk ditentukan secara tepat kerana Aini sentiasa dibangunkan dari semasa ke semasa berdasarkan pada sistem yang ada.

“Cabaran yang kita hadapi ialah tenaga kerja dan juga sentiasa berfikir untuk membangunkan robot maya ini,” katanya.

Menurutnya, projek itu boleh dikomersialkan dan pihaknya kini bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk KRU Berhad untuk mempopularkan Erra Fazira yang boleh ditampilkan dalam bentuk robot maya dan peminat boleh berinteraksi dengannya menerusi telefon bimbit.

“Melalui teknologi itu, watak Erra Fazira berkenaan akan dilengkapkan dengan segala maklumat berkaitan dan para peminat boleh berinteraksi dan robot Erra juga akan menjawab sebarang soalan yang ditanya,” ujarnya.

Ditanya sama ada teknologi robot maya itu boleh mengatasi keupayaan manusia, beliau menjelaskan, walaupun robot berkenaan boleh mempelajari sendiri maklumat yang dibekalkan ia tetap mempunyai batasan.

Namun katanya, oleh kerana terlalu banyak berinteraksi dengan orang ramai menerusi komputer dan memproses pelbagai maklumat, Aini kadangkala boleh bertindak sendiri berdasarkan maklumat yang telah diterimanya selama ini.

“Ini pernah berlaku semasa kami mengadakan demonstrasi apabila seorang pengguna memberitahu usianya sudah 50 tahun dan Aini membalas dengan menyatakan ia tidak berminat dengan mereka yang sudah berusia,” ujarnya.

Beliau memberitahu, teknologi itu akan terus dibangunkan mengikut peredaran masa dan kini pihaknya berharap dapat menggunakan teknologi yang sedang dibangunkan oleh MIMOS Bhd. iaitu manusia boleh bercakap dengan robot secara bersahaja.

Katanya, selama ini manusia berhubung dengan robot melalui teks yang ditaipkan ke komputer dan robot mengeluarkan suara untuk membalas atau pun robot dilengkapkan dengan program tertentu untuk menjawab suara yang didengarnya.

Kejayaan KUTKM mencipta Aini mendapat pengiktirafan apabila ia dimasukkan ke Malaysia Book of Records baru-baru ini sebagai Program Robot Interaktif Pertama Malaysia.

About osgoh

osgoh